Barcelona lanjut kontrak Alcantara

Thursday, June 30, 2011

BARCELONA - Harapan Arsenal, Chelsea dan Manchester United merebut khidmat pemain tengah berbakat Barcelona, Thiago Alcantara, berkecai selepas bintang remaja itu melanjutkan kontrak bersama kelabnya sehingga 2015.

Tiga kelab terbesar Liga Perdana berkenaan dikatakan sudah bersedia membida pemain berusia 20 tahun itu, namun persembahan memberangsangkan ketika Kejohanan Bawah 21 Eropah minggu lalu menyaksikan nilainya meningkat mendadak.

Barcelona pada asalnya mahu menggunakan Alcantara sebagai umpan bagi memancing Arsenal menjualkan Cesc Fabregas, tetapi perkembangan itu menunjukkan Barca ada perancangan masa depan untuknya.

Malah, kontrak baru yang ditandatangani Alcantara juga dimasukkan klausa pelepasan bernilai 80 juta pound (RM400 juta).

Pada final Kejohanan Bawah 21 Eropah tempoh hari, Thiago meledak jaringan cantik menerusi sepakan percuma dari jarak 40 meter bagi membantu pasukannya menewaskan Switzerland 2-0. - AGENSI


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)