Bolivia cemaskan Argentina

Saturday, July 2, 2011
LA PLATA, Argentina - Argentina berjaya mengelak kejutan pada perlawanan pembukaan Copa America semalam, apabila voli pemain gantian, Sergio Aguero membolehkan tuan rumah seri 1-1 dengan Bolivia.

Bolivia menyerap tekanan pada babak pertama sebelum menjaringkan gol pendahuluan pada babak kedua menerusi Edivaldo Rojas.

Tuan rumah terpaksa menunggu sehingga minit ke-77 bagi gol penyamaan menerusi Aguero.

Bintang Argentina, Lionel Messi dikawal ketat oleh pertahanan Bolivia sehingga dia sukar untuk mencari peluang gol.

"Ia bukan seperti yang kami harapkan, kini kami mesti meningkat dan kami perlu memenangi baki perlawanan kumpulan. Kini kami memerlukan ketenangan," kata Messi.

Pada perlawanan di Stadium Ciudad de La Plata, Bolivia mengejutkan Argentina pada minit kedua babak kedua, apabila Jhasmany Campos melakukan sepakan sudut yang rendah dan bola menuju ke tiang gawang, dan Rojas hanya menggunakan tumit menguis bola melepasi penjaga gol, Sergio Romero.

Marcelo Martins hampir memberikan Bolivia gol kedua pada minit ke-60, apabila dia melepasi perangkap ofsaid Argentina.

Namun, Romero terlebih dahulu menerkam untuk menguis bola daripada kaki penyerang itu, yang kemudiannya bangun menghalang percubaan kedua.

"Kami mengalami beberapa keadaan yang jika kami dapat mematahkan mereka, kami akan memenangi perlawanan ini.

"Saya fikir pasukan sudah berjaya dan lebih mantap pada minit terakhir babak pertama dan hampir seluruh babak kedua

"Bagi kami, selepas persiapan singkat dan melalui hanya beberapa perlawanan pemanas badan, ini adalah keputusan yang bagus yang merangsang kami untuk meneruskannya," kata jurulatih Bolivia kelahiran Argentina, Gustavo Quinteros.

Argentina menyamakan kedudukan pada 13 minit terakhir, apabila Nicolas Burdisso mendada bola lintang Marcos Rojo untuk Aguero merembat masuk menerusi sepakan voli.

Keputusan seri itu dianggap positif buat Bolivia, kata penjaring gol skuad Rojas.

"Keputusan ini amat penting dari segi psikologi bagi perlawanan berikutnya (menentang Costa Rica)," katanya. - Reuters


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)