Arsenal sasar bintang muda Sepanyol

Monday, June 27, 2011

lONDON - Bintang muda Sepanyol, Juan Mata menjadi sasaran perpindahan utama Arsenal pada musim panas ini dan kelab itu sudah pun mula berunding dengan Valencia untuk mendapatkan penyerang bernilai 18 juta pound (RM90 juta) itu.

Valencia tidak akan keberatan menjual Mata, yang menjulang kejuaraan Bawah 21 Eropah kelmarin, memandangkan kelab La Liga itu dibebani hutang yang mencecah 327 juta pound (RM1.6 bilion).

Bos kelab Emirates, Arsene Wenger yang meninjau sendiri aksi pemain berusia 23 tahun ketika skuad remaja kebangsaan Sepanyol membenam Switzerland 2-0 di Denmark Sabtu lalu, mahukan perpindahan Mata secepat mungkin.

Kelibat Mata turut diintai Liverpool, dengan pengurusnya, Kenny Dalglish melihat penyerang itu sebagai calon sesuai untuk digandingkan dengan Luis Suarez.

Barcelona serta beberapa kelab Liga Perdana England juga dilaporkan berminat terhadap Mata.

Dalam perkembangan sama, bintang Ivory Coast, Gervinho dilaporkan semakin menghampiri perpindahan bernilai 12 juta pound (RM60 juta) selepas kelabnya, Lille mengakui pemain itu mahu berhijrah ke London.

Skuad Gunners mungkin dapat memeterai perjanjian pembelian pemain berusia 24 tahun itu dalam beberapa hari lagi, kerana Lille juga terdesak menjana peruntukkan untuk membeli pemain sayap St. Etienne, Dimitri Payet sebelum disambar Liverpool.

Gervinho menjadi tonggak utama membantu Lille menjulang gelaran Ligue 1 bulan lalu apabila pemain itu meledak 15 gol. - AGENSI


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)