Misi City pindahkan 'pemain sampah'

Tuesday, June 28, 2011

MANCHESTER - Manchester City mengambil bekas pengerusi Blackburn, John Williams sebagai 'jurujual' untuk menyingkirkan sekumpulan pemain yang tidak lagi diperlukan musim depan.

Ketika Garry Cook dan Brian Marwood melaksanakan misi memburu muka baru untuk memantapkan skuad City menghadapi Liga Juara-Juara, Williams yang menandatangani kontrak enam bulan, ditugaskan untuk 'memindahkan sampah' dari Eastlands.

Ironinya, dua daripada pemain iaitu Roque Santa Cruz dan Craig Bellamy, merupakan pemain yang dibeli dan dijualnya ketika dia berkuasa di Ewood Park.

Williams mungkin cukup mahir dan berpengalaman, namun sedar dia berdepan tugas sukar mendapatkan kelab baru bagi sekumpulan besar pemain yang bergaji mahal, tetapi tidak diperlukan untuk beraksi.

Penyerang Paraguay, Santa Cruz, dibeli pada harga 17 juta pound (RM85 juta) dan cara terbaik memindahkan pemain bergaji 90,000 pound (RM450,000) seminggu itu adalah menerusi pinjaman.

Bellamy, yang menerima gaji 4 juta pound (RM20 juta) setahun, dijangka tidak berdepan masalah mencari pasukan baru kerana Celtic, Stoke dan Everton masing-masing menunjukkan minat terhadap penyerang Wales itu.

City, bagaimanapun tetap perlu membayar sejumlah wang untuk memastikan perpindahan mereka berjaya, mungkin dalam bentuk subsidi gaji.

Langkah itu sama seperti yang dilakukan oleh City ketika meminjamkan pertahanan kiri, Wayne Bridge kepada West Ham dengan City masih membayar sebahagian daripada gaji 90,000 pound seminggu.

Selain tiga pemain tersebut, Williams juga perlu 'menyelesaikan' beberapa lagi pemain seperti Emmanuel Adebayor, Shay Given, Jerome Boateng dan Jo, yang mahu ditunjukkan pintu keluar Eastlands oleh pengurusnya, Roberto Mancini. - AGENSI



(Sumber: http://www.utusan.com.my/)