Fabregas mungkin ke Barca minggu ini

Tuesday, June 28, 2011

LONDON - Arsenal akhirnya mengangkat bendera putih dan sanggup menjual Cesc Fabregas kepada Barcelona.

Kapten The Gunners berusia 24 tahun itu disisihkan daripada aktiviti promosi jersi baru kelab tersebut yang dilancarkan semalam.

Satu perjanjian mungkin dapat dimeterai menjelang penghujung minggu ini dengan seorang pegawai kanan Arsenal mengakui jika pihaknya mendapat tawaran lebih tinggi daripada bidaan pertama 27 juta pound (RM135 juta), maka Fabregas mungkin dilepaskan biarpun tanpa kerelaan.

Pegawai itu berkata: "Tawaran rasmi pertama dibuat secara bertulis kepada ketua eksekutif kami, Ivan Gazidis dan kami terus menolaknya.''

Namun, apabila ditanya berhubung tawaran baru yang dijangka, dia menambah: "Kalau ia mencukupi, saya jangka kami akan jual."

The Gunners mahukan antara 40 juta hingga 60 juta pound (RM240 juta hingga RM300 juta), namun bersedia melepaskan Fabregas pada harga 35 juta pound (RM175 juta), sekali gus menamatkan masalah yang berlanjutan sudah lebih dari setahun.

Arsenal tidak sanggup membiarkan situasi itu berterusan sehingga menjejaskan persiapan skuad kendalian Arsene Wenger menghadapi musim depan.

Justeru, mereka terpaksa merelakan pemergian Fabregas yang jelas memasang impian kembali ke Barcelona selepas meninggalkan kelab asalnya itu pada usia 16 tahun untuk berhijrah ke London.

Arsenal bagaimanapun berang dengan tindakan Barca yang menggunakan pelbagai taktik untuk mengganggu Fabregas dalam tempoh 12 bulan lalu, malah cuba mengeksploitasi keadaan tersebut untuk memaksa Arsenal menurunkan harga permintaan. - AGENSI


(http://www.utusan.com.my/)