Villa minta RM100j untuk lepaskan Downing

Monday, June 27, 2011

LONDON - Stewart Downing akan dibenarkan berhijrah ke Liverpool, sebaik harga 20 juta pound (RM100 juta) Aston Villa dipenuhi The Reds.

Namun, jika Liverpool terus enggan berganjak, maka pemain sayap England itu yang begitu mengimpikan menyarung jersi Liverpool, mungkin perlu mengambil jalan terdesak iaitu merayu Villa agar meletakkannya dalam 'senarai berpindah'.

Pengurus, Kenny Dalglish amat memerlukan seorang pemain yang mampu berperanan di bahagian sayap bagi membantu penyerang tinggi lampai, Andy Caroll.

Difahamkan, tawaran Liverpool untuk Downing adalah lima juta pound kurang daripada penilaian Villa.

Villa nampaknya sanggup untuk melepaskan Downing biarpun kontraknya masih berbaki dua tahun kerana tidak mahu mengulangi apa yang berlaku sebelum ini sewaktu menjual Gareth Barry dan James Milner kepada Manchester City.

Pengurus baru Villa, Alex McLeish kini memerlukan masa untuk membentuk pasukan serba baru menjelang musim baru, selepas turut kehilangan seorang lagi tonggak, Ashley Young ke Manchester United.

Meskipun mampu berbelanja, Dalglish sedar dia perlu menyingkirkan beberapa pemain bintangnya untuk mengimbangi akaun pasukan.

Raul Mereiles, Milan Jovanovic, Joe Cole serta Maxi Rodriguez juga menghampiri pintu keluar Anfield.

Dalglish setakat ini hanya membelanjakan hampir 20 juta pound untuk membeli Jordan Henderson dari Sunderland, namun ingin memperkuatkan lagi skuadnya di semua posisi dengan pemburuan Charlie Adam (pemain tengah Blackpool), Connor Wickham (penyerang Ipswich) dan Gael Clichy (bek kiri Arsenal). - AGENSI


(http://www.utusan.com.my/)