Brazil, Argentina pilihan juara Copa America

Friday, July 1, 2011

Oleh AIZAWATI AHMAD

COPA America 2011 membuka tirainya hari ini. Bumi Argentina bakal menjadi medan pertempuran untuk mencari juara baru, setelah dua edisi sebelum ini dikuasai oleh skuad samba, Brazil.

Pasukan bimbingan Mano Manezes itu, pasti mahu melakar hatrik dengan mempertaruhkan barisan tenaga muda yang sedang meningkat naik, tanpa sokongan pemain-pemain berpengalaman seperti Kaka, Ronaldiho dan juga Luis Fabiano.

Sebaliknya skuad Brazil akan diterajui bintang muda seperti Neymar, Alexandre Pato, Lucas dan Paulo Henrique Ganso, yang merupakan tonggak masa depan Brazil bagi menghadapi Piala Dunia 2014 kelak.

Neymar, bintang muda Brazil berusia 19 tahun yang kini menjadi rebutan kelab-kelab gergasi Eropah akan digandingkan dengan rakan sepasukannya di Santos, Ganso, 21.

Gandingan itu juga dilihat mampu membuka gerakan pemain berpengalaman, Robinho dan seorang lagi pemain muda Brazil, Alexandre Pato di bahagian serangan.

Ketiadaan sebahagian besar pemain Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, menyebabkan pemain bakat muda dipertaruhkan untuk membawa Brazil menjulang kejuaraan Copa America kali ketiga berturut-turut.

Copa America 2011 menjadi medan pertama buat Mano Menezes memulakan tugas rasminya sebagai jurulatih dan dia pasti mahu memahat namanya sebaris dengan jurulatih terdahulu iaitu Carlos Alberto Parreira dan Dunga yang membawa Brazil menjulang trofi kejuaraan pada 2004 serta 2007.

Namun, disebalik kehebatan bakat-bakat muda Brazil, Argentina dilihat sebagai ancaman terbesar buat skuad samba itu melunaskan hasrat mereka mencatat rekod hatrik.

Dengan barisan pemain Piala Dunia, tuan rumah dilihat menampilkan pasukan terkuat bagi memburu kejuaraan setelah kali terakhir mereka memenangi kejohanan itu pada 1993 di Ecuador.

Albicelestes yang mendapat sentuhan jurulatih, Sergio Batista itu memiliki pilihan di barisan depan dengan mempertaruhkan pemain-pemain bertaraf bintang seperti Lionel Messi yang bakal digandingkan dengan Carlos Tevez dari Manchester City dan Ezequiel Lavezzi.

Sementara bintang Real Madrid, Gonzalo Higuain, Sergio Aguero (Atletico Madrid) dan Angel Di Maria akan diletakkan di bangku simpanan.

Menyaksikan nama-nama hebat tersebut, Argentina sewajarnya tidak menghadapi masalah untuk menghadapi Bolivia pada perlawanan pembukaan saingan peringkat Kumpulan A, hari ini yang turut disertai Colombia dan Costa Rica.

Batista sudah pasti menagih sentuhan keramat Messi sekali pun, pemain Barcelona itu jarang mempamerkan aksi yang sama ketika mewakili negaranya di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, Messi yang berjaya menyumbang satu gol, selain membuka gerakan buat dua lagi jaringan ketika Argentina membelasah Albania 4-0 pada perlawanan pemanas badan terakhir sebelum Copa America di Monumental, sebagai petanda awal dia bakal menyengat kali ini.

Selain dua pasukan pilihan utama itu, cabaran juga bakal hadir dari pasukan kebangsaan Uruguay yang kali terakhir memenangi kejohanan tersebut pada 1995 di gelanggang sendiri.

Dengan barisan pemain berpengalaman seperti penyerang Liverpool, Luis Suarez, Diego Forlan (Atletico Madrid) dan Edison Cavani (Napoli), ancaman Uruguay tidak boleh dipandang sebelah mata.

Malah, Urugauy yang diletakkan dalam Kumpulan C, turut memiliki Sebastian Abreu dan pemain remaja, Abel Hernandez bagi menyokong tiga pemain tersebut di barisan depan.


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)