Skandal rasuah landa Tevez

Monday, June 27, 2011

LONDON: Carlos Tevez dan Manchester City kini diheret dalam skandal rasuah gara-gara mengatur keputusan perlawanan.

Ketika tiada sebarang gambaran menunjukkan sama ada bintang dari Argentina itu atau pun kelab berkenaan terjebak dalam perbuatan terkutuk itu, mahkamah Greece sedang menganalisa bukti bahawa perlawanan Liga Europa antara City menentang Aris, Februari lalu menjadi sasaran kumpulan kaki judi.

Apa yang mengejutkan ialah, pendakwa membentangkan rakaman satu perbualan telefon yang mana seorang daripada pemain kelab Greece itu mendakwa Tevez akan didekati untuk membantu mereka menentukan keputusan perlawanan.

Pemain tengah Aris, Kostas Mendrinos didengar mencadangkan dia boleh meminta rakan sepasukannya - bekas pemain City, Nery Castillo - supaya memujuk Tevez membenarkan kelab Greek itu menang.

Dipercayai satu pertaruhan bernilai hampir 6,000 pound (RM29,344) diletakkan bagi perlawanan berkenaan.

Mendrinos didakwa berkata: “Saya akan bercakap dengan segala kemungkinan dengan Castillo supaya pergi mendapatkan Tevez yang juga kapten pasukan City dan kami juga perlu memberitahu Koke (kapten Aris) kemungkinan untuk menang di sini.”

Tevez, malam semalam menafikan mengetahui atau terbabit dalam skandal seperti didakwa itu. - Agensi


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)