Modric bakal terima gaji tertinggi

Monday, June 27, 2011

LONDON - Luka Modric bakal menjadi pemain yang menerima gaji paling tinggi dalam sejarah Tottenham jika dia bersetuju kekal di White Hart Lane musim depan.

Pengerusi Spurs, Daniel Levy dijadual mengadakan rundingan kontrak baru dengan Modric, 25, sebaik sahaja pemain tengah Croatia itu kembali melapor diri untuk latihan pra musim pada 6 Julai depan.

Levy dijangka menawarkan kenaikan gaji dua kali ganda kepada 90,000 pound (RM450,000) seminggu bagi memujuknya kekal bersama Spurs.

Levy, yang terkenal dengan sikap berkeras dalam hal kewangan memberitahu, tiga aset paling berharga kelab itu, Modric, Gareth Bale dan Aaron Lennon tidak akan dijual walau pada apa harga sekali pun.

Dia tidak sanggup membiarkan skuadnya menjadi lemah ketika mereka mahu memburu slot ke Liga Juara-Juara pada musim akan datang.

Namun, dia sedar gaji 45,000 pound yang diterima Modric ketika ini tidak setimpal, lebih-lebih lagi ia kurang dua 2 juta pound setahun, jika dibandingkan dengan Peter Crouch dan Robbie Keane.

Modric yang diintai Manchester United, Manchester City dan Chelsea, dikatakan lebih gemar menetap di London biarpun ditawar gaji lebih tinggi oleh United dan City.

Chelsea pula tidak bersedia untuk berbelanja besar seperti mana mereka memecahkan rekod bayaran perpindahan Britain iaitu 50 juta pound (RM250 juta) ketika mendapatkan Fernando Torres.

Bidaan pertama Chelsea untuk mendapatkan Modric sebanyak 22 juta pound dibidas pengurus Spurs, Harry Redknapp yang menganggapnya sebagai ‘tidak munasabah’. – AGENSI


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)