Tekad serang habis-habisan

Friday, July 1, 2011

Oleh Aziman Rosdi dan Azlan Muhammad Zain

LALUAN berduri menanti Harimau Malaya apabila turun menentang Taiwan pada perlawanan timbal balik pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 Zon Asia di Stadium Majlis Perbandaran Taipei, Ahad ini.

Itu janji dilaungkan ketua jurulatih Taiwan, Lo Chih-Tsung apabila menyifatkan persembahan 90 minit dipamer barisannya di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin bukan permainan sebenar mereka.

“Kami akan mempamerkan gaya dan corak permainan sebenar Taiwan di tempat sendiri. Corak menyerang akan menjadi keutamaan kami bagi memastikan kemenangan dapat dicapai sekali gus menempah tiket ke pusingan kedua,” katanya yang gembira sekalipun tewas 1-2 pada perlawanan pertama itu.

Jurulatih yang membentuk skuad itu sejak 2009 turut berkata jaringan satu gol di tempat lawan melalui Chen Po-Liang pada minit ke-76 amat berharga ketika skuadnya lebih banyak mengamalkan corak bertahan sejak awal permainan lagi.

“Ia sangat membantu kami kerana jaringan gol di tempat lawan adalah matlamat kami dari awal. Keputusan ini menggembirakan saya,” katanya. Keyakinan Chih-Tsung pastinya berdasarkan persembahan berdisiplin anak-anak buahnya sepanjang permainan dan kini hanya memerlukan kemenangan dengan jaringan 1-0 untuk memastikan tiket ke pusingan kedua. Malah Taiwan dijangka dapat menggunakan khidmat pemain pertahanan kiri kelahiran Belgium, Xavier Chen yang sebelum ini menunggu pelepasan daripada Fifa manakala seorang lagi pemain berpangkalan di Eropah, Victor Chou tidak diturunkan malam kelmarin.

Pada perlawanan yang disaksikan kira-kira 45,000 penonton, Taiwan menguasai peringkat awal permainan dengan beberapa kali mengasak ke kubu negara sebelum Harimau Malaya bangkit menguasai perlawanan bermula minit ke-15 dan berjaya meledak dua gol.

Namun pelawat tidak berputus asa apabila lebih banyak mengasak pada penghujung babak kedua sebelum berjaya menjaringkan gol melalui Po-Liang yang mudah menewaskan penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee Ramli.


(Sumber: http://www.hmetro.com.my/)