Chelsea dapat lampu hijau

Thursday, June 30, 2011

LONDON: Chelsea sudah diberi lampu hijau untuk memulakan perbincangan dengan Neymar selepas menawarkan £40 juta (RM200 juta) kepada bintang bola sepak Brazil itu.

Presiden Santos, Luis Alvaro Ribeiro mengesahkan lima kelab Eropah sudah bersetuju untuk bertemu dan membeli klausa kontrak penyerang berkenaan.

Pemilik kelab The Blues, Roman Abramovich kini harus menyaingi pencabar mereka - yang dipercayai hadir daripada Real Madrid, Barcelona, Juventus dan kelab Russia, Anzhi Makhachkala.

Ribeiro berkata: “Kami tidak mahu menjual Neymar tetapi ada klausa kontrak bernilai £40 juta.

“Lima kelab ternama Eropah bersetuju kepada klausa berkenaan. Mereka minat kebenaran bercakap dengan pemain itu dan kami sudah memberi lampu hijau.

“Setiap kelab itu ada etika. Mereka datang ke Santos dulu dan bercakap dengan pemain, ayah dan ejennya.

“Sikap Chelsea musim lalu berbeza. Mereka berjumpa wakil pemain berkenaan dulu dan membuat tawaran sebelum ditolak Santos.”

Pemain berusia 19 tahun itu yang ditakrif memiliki prospek lebih baik daripada Lionel Messi kini sedang beraksi untuk Brazil dalam Copa Amerika.

Sebelum ini dia dijangka berpindah ke Real Madrid, tetapi menurut sumber dari Chelsea: “Kami sudah lama mengejar Neymar dan kekal yakin kami mampu membawanya ke Stamford Bridge.” - Agensi


(Sumber: http://www.bharian.com.my/)