Pertembungan Messi, Neymar

Thursday, June 30, 2011

BUENOS AIRES - Tuan rumah, Argentina merasakan mereka 'bertanggungjawab' untuk memenangi Copa America menerusi pasukan yang diperkuatkan dengan Lionel Messi.

Argentina tidak dapat menerima hakikat untuk menamatkan saingan di belakang musuh tradisi mereka, Brazil buat kali ketiga berturut-turut.

Seteru lama itu berentap pada final dua kejohanan sebelum ini, dengan kedua-duanya dimenangi Brazil.

Namun kelebihan sebagai tuan rumah pada kejohanan yang bermula hari ini sehingga 24 Julai, Argentina berharap dapat memenangi trofi buat kali pertama selepas 1993.

Ketika Argentina mempunyai Messi pada bahagian serangan, Brazil pula memiliki pemain pintar, Neymar, yang berpotensi sebagai 'Pele baru' setelah membantu Santos memenangi Piala Libertadores pada usia 19 tahun.

"Menjadi tanggungjawab kami memenangi kejohanan ini," kata juruIatih Argentina, Sergio Batista.

Argentina akan memulakan kempen kejohanan bola sepak tertua di dunia itu di Stadium Ciudad de La Plata esok, menentang Bolivia dalam Kumpulan A.

Argentina pernah dibelasah 1-6 oleh Bolivia pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia pada altitud tinggi dua tahun lalu di La Paz, di bawah jurulatih Diego Maradona.

Jentera serangan yang diperkuatkan dengan kehadiran Messi, Carlos Tevez dan Ezequiel Lavezzi manakala Gonzalo Higuain, Sergio Aguero dan Angel Di Maria di bangku simpanan, Argentina sepatutnya tiada masalah untuk membenam Bolivia, dalam saingan kumpulan mudah yang disertai Colombia dan Costa Rica.

Brazil, dengan jurulatihnya Mano Menezes kembali ke dengan 'permainan cantik' selepas era Dunga, akan menentang Venezuela dalam Kumpulan B di venue yang sama pada Ahad, sebelum ke Cordoba untuk menentang Paraguay dan Ecuador.

Menezes menggandingkan Neymar dan rakan sepasukan di Santos yang berusia 21 tahun, Paulo Henrique Ganso, yang dilihat mampu membuka gerakan Robinho dan pemain muda Brazil, Alexandre Pato di bahagian serangan. - Reuters


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)