Nasri mungkin ke Man. United

Thursday, June 30, 2011

LONDON - Arsenal bukan saja bakal kehilangan Cesc Fabregas, malah mungkin kehilangan Samir Nasri kepada Manchester United.

Gunners menerima tawaran kedua berjumlah 34 juta pound (RM170 juta) daripada Barcelona, tambahan 7 juta pound berbanding tawaran asal untuk Fabregas.

United juga bersedia mengorak langkah mendapatkan Nasri dan mengharapkan perjanjian perpindahan dapat dimuktamadkan sebelum latihan pramusim minggu depan.

Arsenal merasakan tawaran 20 juta pound (RM100 juta) untuk Nasri yang kontraknya hanya tinggal setahun di Emirates, terlalu bagus untuk ditolak.

Bos Gunners, Arsene Wenger sebelum ini menjelaskan Nasri tidak akan diberi peluang untuk menghabiskan kontrak dan akhirnya meninggalkan kelab itu dengan percuma, seperti mana yang berlaku terhadap Mathieu Flamini tiga tahun lalu.

Wenger kini cuba memujuk dan menyakinkan Nasri bahawa kemarau kejuaraan yang menghantui Arsenal sejak enam tahun lalu akan berakhir musim depan.

Namun, sebarang kejayaan yang diraih Arsenal kelak mungkin tiada kaitan lagi dengan Fabregas dengan bidaan terbaru Barcelona sebanyak 34 juta pound, yang mungkin membuatkan Gunners akur mereka perlu melepaskannya. - Agensi


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)