Nilai pemain muda Valencia tak kurang RM115j

Tuesday, June 28, 2011

LONDON - Arsenal perlu membelanjakan sekurang-kurangnya 23 juta pound (RM115 juta) sekiranya berhasrat mendapatkan khidmat bintang Valencia, Juan Mata.

Skuad Gunners dilaporkan bersiap sedia membuat bidaan 18 jutaan pound (RM90 juta), namun dijangka tidak berdepan laluan mudah dengan kelab La Liga tersebut yang dijangka tidak mahu melepaskan aset paling berharga mereka sewenang-wenangnya.

Tambahan pula, Mata baru sahaja melanjutkan kontrak selama empat tahun pada Januari lalu.

Sumber di Valencia berkata: "Terdapat beberapa syarat tertentu yang termaktub dalam kontrak Mata, jadi selagi sesebuah kelab yang berminat itu tidak bersedia memenuhinya, maka Mata pasti tidak akan ke mana-mana. Kami tidak mahu menjualkan Mata."

Kelmarin, Mata menegaskan dia tidak berniat meninggalkan Valencia.

"Saya mahu menjulang trofi bersama Valencia musim depan. Saya tiada perancangan buat masa ini kerana memiliki kontrak lima tahun sehingga 2015," katanya.

Akhbar SunSport difahamkan jika Valencia mendapat tawaran antara 23 juta hingga 26.5 juta pound, maka mereka terpaksa melepaskan Mata kerana nilai tersebut dipercayai syarat pelepasan minimum yang dinyatakan dalam kontraknya.

Valencia harus menawarkan kontrak baru merangkumi kenaikkan gaji jika mahu pemain itu kekal di Mestalla.

Kelibat bintang yang baru menjulang Piala Eropah Bawah 21 itu turut diintai Liverpool, Chelsea, Barcelona, Real Madrid dan Inter sejak beberapa tahun lalu.

Wenger juga merancang membeli pemain tengah Chile, Arturo Vidal dari Bayer Leverkusen. - AGENSI


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)