Pemilik Birmingham didakwa

Thursday, June 30, 2011

HONG KONG - Pemilik Birmingham City, Carson Yeung tiba di Mahkamah Hong Kong semalam selepas didakwa terlibat dengan sindiket wang palsu, sehari selepas dia ditahan polis bahagian narkotik.

Yeung, 51, kelihatan muram selepas dibawa ke mahkamah dengan van polis.

Jutawan itu yang merupakan bekas pendandan rambut ditahan kelmarin.

Polis berkata, Yeung didakwa kerana lima kali berurusan dengan pembelian hartanah atau dipercayai mewakili pembelian tersebut untuk menjalankan perniagaan yang menyalahi undang-undang negara tersebut.

Pegawai Biro Narkotik menggeledah dua lokasi dan merampas beberapa dokumen.

Yeung mengambil alih kelab England itu pada Oktober 2009 dengan pembelian sebanyak 81 juta pound (RM393 juta) daripada David Sullivan dan David Gold, yang sekarang ini menjadi pemilik bersama West Ham.

Kelab tersebut mendedahkan semalam bahawa Yeung diminta membantu polis Hong Kong berkaitan dengan kes jenayah.

Pemangku pengerusi Birmingham, Peter Pannu menjelaskan semua dakwaan tersebut tidak ada kena mengena dengan syarikat induk kelab Midlands itu, Birmingham International Holdings.

"Semua orang tahu ahli lembaga pada tahun-tahun sebelum ini telah diberikan jaminan dalam beberapa tempoh tertentu dan tidak ada apa yang perlu dirisaukan.

"Saya hanya menggunakan ini sebagai contoh untuk meredakan sebarang ketakutan.

"Undang-undang telah menyatakan seseorang itu tidak bersalah selagi dia tidak dibukti bersalah.

"Setakat ini sahaja maklumat yang dapat diberikan sekarang ini tidak ada sebarang komen yang boleh saya sampaikan," kata Pannu.

Birmingham tersingkir daripada Liga Perdana Englan pada hari terakhir musim lalu dan baru-baru ini pengurusnya, Alex McLeish meletak jawatan untuk menyertai pasukan musuh setempat, Aston Villa, yang masih kekal dalam Liga Perdana.

Bekas pengurus Newcastle, Chris Hughton telah dilantik menggantikan McLeish di St Andrew minggu lepas. - AFP


(Sumber: http://www.utusan.com.my/)